Piala Asia: Chanathip wira kebangkitan Thailand

Oleh Staff Writer 10 Januari 2019 13133
Piala Asia: Chanathip wira kebangkitan Thailand
THAILAND 1 BAHRAIN 0

Chanathip Songkrasin menyumbat gol tunggal untuk membolehkan Thailand menewaskan Bahrain 1-0 dalam saingan Piala Asia di Dubai sebentar tadi tatkala skuad Gajah Perang itu kini berada di bawah pengurusan sementara.


Selepas dibelasah India 4-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Ahad lalu, Thailand mengambil tindakan drastik memecat ketua jurulatih, Milovan Rajevac, dan menggantikannya dengan Sirisak Yodyadthai.

Dan mereka mempamerkan kebangkitan di Stadium Al Maktoum apabila rembatan kaki kiri Chanathip sebelum sejam perlawanan menerjah jaring untuk memastikan Thailand meraih kemenangan kedua dalam 22 perlawanan kejohanan itu.

Bahrain, yang mengutip satu mata dalam pertemuan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sabtu lalu, menampilkan permainan lebih kemas dalam babak pertama dan hampir diberikan sepakan penalti setelah Teerasil Dangda dilihat menghalang sepakan percuma Dhiya Saeed menggunakan tangan.

Bagaimanapun, tiada sepakan penalti diberikan.

Mohamed Al Romaihi pula mensia-siakan peluang menerusi tandukan jarak dekat selepas menerima hantaran Mohamed Marhoon sebelum rehat dan ia jelas satu kesempatan yang patut digunakan sebaik-baiknya apabila Thailand mendahului dalam separuh masa kedua.

Tristan Do melakukan larian  deras yang berpunca daripada gerakan Adisak Kraisorn dan hantaran lintangnya mudah disempurnakan dari jarak 10 ela oleh Chanathip.

Penjaga gol Thailand, Sivarak Tedsungnoen, menyelamatkan gawang daripada bocor apabila cemerlang menafikan usaha enam ela daripada Ali Jaafar Madan bagi mengekalkan pendahuluan.

Kelebihan satu gol hampir ditambah Thailand ketika aksi berbaki 18 minit apabila Chanathip melorongkan bola buat Adisak tetapi percubaan penggempur Muangthong United itu terkena palang gol.

Bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang Thailand untuk meraih slot 16 pasukan terakhir.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen