JORDAN 1 VIETNAM 1
(Vietnam menang menerusi penentuan penalti 4-2)

Dang Van Lam muncul wira apabila memastikan kemenangan Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 ke atas Jordan dalam aksi pusingan 16 setelah mengakhiri perlawanan 1-1 selepas tamat masa tambahan, malam ini.


Ia turut menandakan kali pertama dalam sejarah Vietnam mara ke suku akhir Piala Asia -- satu penanda aras baru buat bola sepak negara itu.

Jordan mendahului perlawanan pada minit ke-39 apabila Baha Abdel-Rahman menyempurnakan sepakan percuma tetapi Vietnam menguasai permainan dalam babak kedua sebelum bangkit menyamakan kedudukan.

Nguyen Cong Phuong menjadikan kedudukan 1-1 dan asakan demi asakan dilancarkan oleh anak buah Park Hang-seo itu, namun Jordan berjaya memastikan perlawanan terikat hingga tamat masa tambahan.

Baha' Faisal menggegar palang gol ketika mengambil sepakan penalti yang kedua sebelum penjaga gol, Van Lam, menafikan percubaan Ahmed Salah. Bui Tien Dung I menyempurnakan sepakan penalti kelima, sekali gus menempah slot suku akhir buat Vietnam.

Jurulatih dari Korea Selatan, Hang-seo, telah menjangkakan corak permainan bersifat fizikal akan digunakan oleh Jordan sementara Yousef Rawshdeh menjadi ancaman utama pasukannya.

Skuad Naga Emas itu menggunakan segala pengalaman yang dimiliki untuk menghasilkan percubaan, dengan peluang pertama mereka hadir menerusi Doan Van Hau yang melakukan hantaran satu-dua kepada Nguyen Quang Hai sebelum melepaskan rembatan tetapi penjaga gol, Amer Shafi, menolak keluar bola daripada kotak penalti.

Selepas Do Hung Dung dihukum kerana melakukan terjahan keras ke aras Salem Al Ajalin, Abdel-Rahman mengambil sepakan percuma sebelum bola melencong menembusi gawang gol, sekali gus membenarkan Jordan mendahului permainan 1-0.

Vietnam hanya memerlukan enam minit sejak babak kedua bermula untuk menyamakan kedudukan. Hantaran silang Nguyen Trong Hoang gagal dipintas pertahanan Jordan sebelum Cong Phuong melepaskan rembatan voli untuk menyamakan kedudukan.

Jordan mencari jalan untuk melakar jaringan kemenangan, namun gagal melakukannya sebelum tamat masa tambahan.

Namun, kecekalan Van Lam menafikan beberapa percubaan memastikan Vietnam meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti.