Jurulatih Australia, Graham Arnold, percaya pasukannya memiliki ramuan tersendiri untuk berdepan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), menjelang aksi suku akhir Piala Asia 2019 memandangkan Tom Rogic terpaksa diketepikan kerana penggantungan.

Socceroos terpaksa berhempas-pulas ketika menundukkan Uzbekistan 4-2 menerusi penentuan penalti selepas 120 minit permainan berlangsung tanpa gol di Al Ain, malam tadi.

Rogic dilayangkan kad kuning pada minit ke-20 selepas dia dihukum kerana mengasari Jaloliddin Masharipov dengan ulang tayang membuktikan pemain tengah Celtic itu tersandung kaki lawannya dalam kejadian tersebut.

Arnold menegaskan hukuman itu terlalu tegas di sebalik keyakinan bahawa dia masih mempunyai pilihan lain dan sistem yang mencukupi untuk berdepan UAE, Sabtu ini.

"Kad kuning itu agak keras kerana Tomi tidak berniat (untuk menjatuhkan pemain lawan)," kata Arnold kepada wartawan.

"Bola dalam kawalannya, perkara seumpama ini boleh berlaku. Kami mempunyai pilihan lain dan saya boleh mengubah sistem kami jika perlu.

"Kami akan melihat bagaimana pendekatan permainan UAE. Kami akan menganalisisnya dan kami mempunyai banyak pilihan dengan sistem yang berbeza berdasarkan pemain yang ada."

Menurutnya lagi: "Saya boleh menukar pendekatan kami dengan meletakkan dua penyerang. Kami boleh bertukar kepada corak berlian di jentera tengah.

"Perkara yang bagusnya, kami tidak perlu pergi jauh. Kami akan kekal di Al Ain menantikan kunjungan lawan. Pemain saya cergas dan mereka sudah bersedia."