AUSTRALIA 0 UZBEKISTAN 0
(Australia menang 4-2 menerusi penalti)

Mat Ryan muncul wira Australia apabila menafikan dua sepakan penalti Uzbekistan untuk memberikan kemenangan 4-2 buat juara bertahan itu ke suku akhir Piala Asia 2019 selepas permainan sebenar terikat 0-0 dalam perlawanan pusingan 16 di Stadium Khalifa Bin Zayed, sebentar tadi.


Uzbekistan hampir memecah kebuntuan sebelum rehat menerusi pemain bintang, Eldor Shomurodov.

Ancaman Australia buat pasukan yang menduduki tangga ke-95 dunia itu sukar dilihat sehingga Mathew Leckie yang melakukan penampilan pertama dalam kejohanan memberikan harapan.

Leckie dan Tom Rogic mencetuskan gerakan buat skuad kendalian Graham Arnold itu dan pemain sayap Hertha Berlin itu tenang menyempurnakan sepakan penalti yang membawa kemenangan setelah Ryan menafikan tendangan Islom Tukhtakhujaev dan Marat Bikmaev dengan penuh bergaya.

Shomurodov jelas menyinar di barisan depan Uzbekistan dan hampir meletakkan pasukannya mendahului menerusi larian di sebelah kiri petak penalti Australia tetapi usahanya dihalang Ryan.

Skuad The Socceroos berjaya mengawal permainan selepas rehat sambil Jamie MacLaren melepaskan rembatan yang dihalang susulan menerima bola lorongan Awer Mabil dan Rhyan Grant gagal menyempurnakan bola muntah.

Bek kanan, Grant, juga dilihat mempamerkan aksi cemerlang di posisinya tatkala Mabil memberikan laluan buat Leckie melakukan penampilan.

MacLaren gagal menyudahkan bola hantaran Rogic di depan gawang Uzbekistan dan digantikan oleh Apostolos Giannou ketika aksi sebenar berbaki 15 minit.

Davron Khashimov menyelamatkan pintu gol Uzbekistan daripada dibolosi selepas Leckie melakukan gerakan dari sebelah kiri dan melepaskan rembatan sambil kapten pasukan bimbingan Hector Cuper itu, Odil Ahmedov, menyaksikan percubaan voli yang dilakukan tersasar pada minit ke-86.

Rembatan Leckie tepat ke dakapan Ignatiy Nesterov selepas penjaga gol Uzbekistan itu menafikan percubaan Rogic ketika awal masa tambahan dan pemain tengah Celtic itu juga melepaskan rembatan liar sehingga memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Bek kiri Australia, Aziz Behich, tampak hampir memberikan laluan buat Uzbekistan untuk ke suku akhir selepas sepakan penaltinya dinafikan oleh Nesterov tetapi Ryan muncul wira menerusi dua aksi tangkas menghalang tendangan pemain lawan, sekali gus memastikan kemenangan buat anak buah Arnold itu.