Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menganggap penyerang negara, Zaquan Adha Abd Razak, masih relevan sebagai kapten berpandukan kepada kredibilitinya yang tidak pernah gagal membawa karakter meyakinkan terhadap rakan sepasukan menjelang Kejohanan Piala Airmarine 2019.

Walaupun skuad negara mempunyai beberapa nama lain yang dilihat mampu mengetuai pasukan seperti Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha selaku pemain paling senior, Zaquan tetap menjadi calon utama sebagai kapten.

Perwatakan selaku ketua pasukan yang dibawa di padang seolah-olah sudah sebati dalam diri pemain Kedah berkenaan sejak Piala AFF tahun lalu untuk meneruskan impak positif kepada rakan sepasukan bagi menjulang kejayaan di pentas kejohanan jemputan empat negara itu.

Namun, prestasi semasa Zaquan dalam latihan masih tetap akan dinilai Cheng Hoe sebelum beliau menentukan siapakah ketua pasukan sebenar pasukan.

"Zaquan masih menjalankan tugas dengan baik dan masih memberikan impak kepada pasukan.

"Dia seorang pemimpin, pejuang dan itulah sebahagian daripada karakternya," ujar Cheng Hoe ketika ditemui dalam majlis penyerahan tiket di sebuah sekolah di Petaling Jaya yang menyaksikan sebanyak 220 keping tiket diberikan secara percuma.

Apa yang pasti, dia tetap menagih keghairahan penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil seperti ketika kempen Piala AFF yang lalu.

""Kami berharap penyokong hadir memberikan sokongan padu kepada kami di Bukit Jalil seperti ketika Piala AFF 2018 kerana ia meniupkan semangat yang cukup tinggi kepada pemain dan mampu meningkatkan keyakinan barisan pemain," katanya lagi.