Piala Airmarine: Zaquan enggan Harimau Malaya berputus asa 

Oleh Staff Writer 21 Mac 2019 1882
Piala Airmarine: Zaquan enggan Harimau Malaya berputus asa 
Ketua pasukan kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, sedar dia dan rakan sepasukan perlu meningkatkan usaha untuk mengembalikan kepercayaan penyokong selepas Harimau Malaya terlepas merebut gelaran Piala Airmarine 2019, Sabtu ini. 

Malaysia terpaksa mengharungi aksi penentuan tempat ketiga dengan Afghanistan, petang Sabtu ini berikutan tewas 0-1 kepada Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. 

Jaringan tunggal Faris Ramli pada minit ke-82 meranapkan impian skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu untuk menempah pertemuan dengan Oman yang terlebih dahulu mengetepikan Afghanistan 5-0 dalam aksi pada sebelah petang. 

"Saya sendiri tidak dapat memanfaatkan peluang terhidang, apapun dalam bola sepak saya tidak boleh berputus asa. 

"Kami perlu kembalikan sisa semangat untuk bangkit dalam aksi kedua Piala Airmarine," ujar Zaquan yang menggalas peranan mengemudi jentera serangan malam tadi.

Menurut penyerang negara, Mohamadou Sumareh: "Ini satu keputusan yang mengecewakan buat kami, penyokong dan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kerana menjangkakan aksi memberangsangkan daripada kami berikutan tahu kemampuan sebenar kami.

"Kami perlu pandang ke hadapan dan fokus kepada aksi pada masa depan." 

Dalam masa sama, kem Singapura memberikan kemenangan sulung kepada jurulatih baru mereka, Nazri Nassir, meskipun berdepan kekangan masa untuk melakukan persiapan lebih rapi. 

"Kami telah beraksi baik di bawah jurulatih dan taktikal baru, kami mengikuti 100 peratus arahan yang diberikan beliau," kata Faris.

Tambah pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin: "Barisan pemain tetap mempunyai keyakinan meskipun hanya sempat berlatih bersama selama 2-3 hari sahaja. 

"Kami sudah biasa melaluinya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen