Piala Airmarine: Pembelian tiket di kaunter mula dijual Isnin 

Oleh Staff Writer 15 Mac 2019 886
 Piala Airmarine: Pembelian tiket di kaunter mula dijual Isnin 
Pengarah Teknikal Airmarine, M. Gopal, berharap kehadiran penyokong yang lebih memberangsangkan apabila tiket Kejohanan Piala Airmarine 2019 akan dijual secara fizikal bermula Isnin ini selepas hanya lebih kurang 10,000 sahaja terjual di atas talian sejak 1 Mac lalu.

Gopal tidak menolak penjualan tiket ketika ini agak hambar walaupun sudah dua minggu dijual di atas talian.

Sebelum ini, penyokong melahirkan rasa tidak berpuas hati apabila menganggap tiket yang dijual kali ini agak mahal, iaitu RM45 bagi tempat duduk utama sementara RM35 untuk tempat duduk terbuka.

Bagaimanapun, dia percaya penyokong tetap akan hadir untuk mendapatkan tiket secara fizikal pula apabila kaunter tiket akan mula dibuka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Isnin ini selain menegaskan harga sedemikian adalah berbaloi bagi dua perlawanan.

"Biasalah, memang sudah menjadi budaya di Malaysia apabila peminat akan membeli pada saat-saat akhir. 

"Biarpun penjualan tiket di atas talian agak lembab tetapi menurut ejen jualan tiket di atas talian, ProEvents, ini biasa berlaku.

"Saya percaya mereka akan membeli tiket di kaunter pada hari perlawanan," katanya. 

Dalam masa yang sama, sebanyak 5,000 tiket disediakan kepada pelajar sekolah berumur 18 tahun ke bawah dengan harga lebih rendah, iaitu RM25.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen