"Matyo perlu segera sembuh."

Demikian reaksi ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, yang kekal meletakan harapan terhadap kehadiran pemain berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha, dalam kesebelasan utamanya walaupun penyerang itu sedang mengalami masalah kesihatan.


Dua hari menjelang aksi pertama Piala Airmarine, skuad negara terpaksa berlatih tanpa kelibat Matyo yang dilanda demam panas.

Walaupun kesihatan pemain itu masih belum pulih sepenuhnya, Cheng Hoe masih mengekalkan Matyo dalam senarai utamanya dengan harapan pemain itu akan pulih sepenuhnya menjelang aksi dengan Singapura, Rabu ini.

"Saya yakin Matyo akan bersedia untuk diturunkan Rabu ini.

"Dia hanya demam dan selepas diberikan rehat yang secukupnya, dia pasti dapat memulihkan tenaganya.

"Kami memerlukan Matyo kerana dia mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa dan mampu membantu pasukan," katanya.

Bagaimanapun, hasrat peminat tempatan untuk menyaksikan penampilan pertama Nicholas Swirad dengan skuad kebangsaan akan tertangguh memandangkan dia masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.

Dalam sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, pemain tengah, Kenny Pallraj, juga dilihat sekadar melakukan senaman ringan di luar padang ekoran kecederaan, namun ia tidak merencatkan perancangan Cheng Hoe.

"Swirad berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan memandangkan dia belum pernah menjalani latihan penuh bersama kami.

"Kenny pula berpotensi untuk diturunkan kerana sudah hampir pulih," tambahnya.