Tonggak Singapura, Harris Harun, memberi amaran bahawa Malaysia tidak boleh memandang mudah cabaran pasukannya sambil menegaskan skuad negara jiran itu sudah mengkaji kelemahan dan kelebihan Harimau Malaya menjelang saingan Piala Airmarine esok.

Harris yang sudah berkelana dalam Liga Malaysia sejak bersama Lions XII sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat cukup arif dengan corak permainan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Justeru, dia menegaskan Singapura tidak akan turun tanpa sebarang sasaran, sebaliknya berhasrat mengejutkan Malaysia selaku tuan rumah.

"Benar. Kami tahu kekuatan dan kelebihan Malaysia tetapi apa yang penting, 90 minit esok adalah penentu. Pasukan yang benar-benar menunjukkan keinginan akan menang," katanya.

"Kami sudah biasa dengan pasukan Malaysia. Sebelum ini, kami pernah bertemu ketika Piala Suzuki AFF serta beberapa aksi persahabatan."