Tidak guna meragui kredibiliti Tan Cheng Hoe selaku pengendali skuad senior sekalipun gagal menjuarai Piala Airmarine ketika dia masih memiliki dua objektif utama dalam Indeks Prestasi Utama (KPI).

Kekalahan 1-0 di tangan Singapura mengagalkan impian Malaysia untuk layak ke final Piala Airmarine sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Afghanistan 2-1, sebentar tadi.

Tetapi segelintir peminat bola sepak tanah air sudah mula meragui kewibawaan Cheng Hoe hanya selepas beberapa bulan dijulang atas kejayaan layak ke final Piala AFF tahun lalu.

Dua misi Cheng Hoe seterusnya adalah untuk memastikan Malaysia kembali ke pentas final Piala AFF 2020 dan juga layak ke Piala Asia 2023.

"Kami perlu melihat ke hadapan dan Malaysia memiliki dua lagi kejohanan yang menjadi keutamaan. Sebilangan tonggak utama skuad negara sedang berkhidmat bersama skuad B-23 negara," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

"Semua pihak harus bersabar kerana skuad negara masih lagi di landasan yang tepat."

Kekalahan 1-0 kepada Singapura turut memberikan impak besar ke atas hasrat Harimau Malaya untuk berada dalam ranking ke-34 terbaik Asia.

Ini bermakna skuad Cheng Hoe perlu beraksi dalam kelayakan pusingan pertama Piala Dunia 2022 yang berfungsi sebagai kelayakan Piala Asia 2023.

"Kelayakan pusingan pertama Piala Dunia agak mencabar. Kami akan melihat undian kumpulan yang bakal dilakukan bulan depan dan membuat persiapan menghadapinya," kata Stuart lagi.