Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tidak menganggap kegagalan pasukannya untuk mengelak daripada beraksi dalam play-off kelayakan Piala Dunia 2022 sebagai petanda buruk dalam menjayakan visi dan misi peta hala tuju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), F:30.

Skuad negara sah akan beraksi dalam pusingan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022 (Zon Asia) selepas tewas 0-1 kepada Singapura, kelmarin.

Ini berdasarkan perkiraan mata ranking dunia yang menyaksikan misi Malaysia untuk menduduki tempat ke-34 Asia tidak kesampaian ekoran gagal menjuarai Piala Airmarine 2019.

Sebaliknya, kedudukan itu kekal memihak Singapura yang akan dikecualikan bagi aksi play-off pada Hari Raya Aidilfitri depan.

"Setiap kali gagal mencapai sesuatu (sasaran), kami perlu mengambilnya sebagai sesuatu yang positif.

"Kami tidak perlu terus pandang ke belakang dengan mengatakan kami tidak mampu menampilkan aksi yang baik.

"Sebagai jurulatih, saya tetap optimis untuk mengharungi play-off Piala Asia 2022," jelas Cheng Hoe ketika ditemui dalam sidang akhbar sempena pertemuan dengan Afghanistan bagi penentuan tempat ketiga Piala Airmarine, esok.

Kelayakan Piala Dunia 2022 merupakan langkah awal untuk menempah tiket ke Piala Asia 2023 yang merupakan misi FAM bagi fasa pertama F:30.

Apapun, Cheng Hoe kembali mengalihkan fokusnya terhadap kebangkitan Harimau Malaya ketika berdepan Afghanistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ia merupakan perlawanan demi menjaga maruah negara dengan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam pertemuan terakhir pada 2016.

"Selepas berehat sehari, saya harap tenaga pemain kembali pulih sambil kekuatan mental juga perlu ditingkatkan," tambahnya.

Menurut jurulatih Afghanistan, Anoush Dastgir: "90 peratus pemain pasukan ini telah berubah sejak dua tahun lalu.

"Ramai pemain ingin mewakili Afghanistan, sehubungan itu banyak kualiti yang terdapat dalam pasukan ini.

"Bagaimanapun, kami juga berdepan beberapa masalah."