Kedudukan Tan Cheng Hoe dalam bahaya.

Itu pandangan pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, berhubung sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tampak tidak seiring dengan situasi yang dialami jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe kehilangan ramai pemain tonggak tatkala Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, meletakkan sasaran juara dalam Piala Airmarine 2019, bermula 20 Mac depan.

Selain empat pemain (Syamer Kutty Abba, Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari) yang dipersetujui akan mewakili skuad B-22 kebangsaan dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020, Cheng Hoe juga hilang enam lagi pemain yang membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018.

Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Syafiq Ahmad, diketepikan biarpun mereka bebas daripada kecederaan termasuk Adam Nor Azlin, Amirul Azhan Aznan dan Shahrel Fikri Md Fauzi.

Cheng Hoe memberi alasan ketiadaan mereka disebabkan kecederaan selain mahu menguji muka baru, -- Abdul Latiff Suhaimi dan Abdul Halim Saari dan Faiz Nasir (Selangor) dan kembalinya Nor Azam Abdul Azih dan Matthew Davies (Pahang) termasuk penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim dan Rizal Ghazali (Kedah) -- namun ia tampak bercanggah dengan kemahuan FAM untuk melihat Harimau Malaya bergelar juara dalam saingan membabitkan Oman, Afghanistan dan Singapura itu.

Asmawi berasakan Piala Airmarine bukan masa buat Cheng Hoe untuk bereksperimen, sebaliknya perlu memastikan keputusan positif buat pasukannya.

"Piala Airmarine ini adalah pelantar untuk skuad kebangsaan mengelak aksi play-off kelayakan Piala Dunia 2022.

"Ketiga-tiga pasukan yang bakal dihadapi Malaysia akan memberikan gambaran yang tidak baik terhadap imej bola sepak negara sekiranya kalah dan boleh menggugat ranking dan kedudukan Cheng Hoe.

"Tanpa tonggak utama sebelum ini dan dengan langkah mengambil muka baru, maka Cheng Hoe perlu menghadapi situasi ini dengan bijak," kata Asmawi.

Menurut bekas penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli: "Ketiadaan beberapa tonggak skuad kebangsaan mungkin akan sedikit menjejaskan persefahaman skuad negara.

'Tetapi beliau menginginkan lebih banyak pilihan pemain, sebab itulah pemain yang beraksi baik dalam kempen liga musim ini diberi peluang."