Pemain tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih dan Syazwan Zainon, enggan mensia-siakan peluang kedua yang dihulurkan pengendali negara, Tan Cheng Hoe, apabila menjadi sebahagian daripada 25 pelatih untuk mengharungi Piala Airmarine 2019.

Azam dipanggil semula untuk menjalani latihan kem kebangsaan selepas namanya digugurkan pada saat-saat akhir dalam Piala AFF tahun lalu ekoran kecederaan lutut kanan.

Kecederaannya sudah pulih apabila tampil beraksi sebanyak lima perlawanan bersama skuad Pahang musim ini dan dia bertekad untuk menyarung jersi Malaysia dalam kempen Piala Airmarine.

Lantas, pemain tengah itu bersedia mempertaruhkan segala pengalaman dan kudrat demi merebut tempat dalam senarai akhir 22 pemain yang akan membawa cabaran negara.

"Saya agak terkejut menerima panggilan skuad kebangsaan kali ini.

"Sebelum ini saya ditimpa kecederaan dan dengan peluang yang diberikan jurulatih kali ini, saya akan buktikan kemampuan," ujarnya.

Pemain Selangor, Syazwan, turut menyimpan hasrat untuk menebus kekecewaan berikutan gagal mempamerkan aksi terbaik dalam kempen Piala AFF lalu.

Semangatnya kini juga semakin membara sambil mengakui prestasi bersama skuad Selangor turut membantunya untuk menyerlahkan semula sentuhan berbahaya di sayap kanan.

"Sedikit-sebanyak prestasi di Selangor membantu saya untuk menyarung jersi kebangsaan selain faktor pernah di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe," katanya.