Pertahanan negara, Shahrul Saad, bertekad untuk menyekat pergerakan penggempur berbisa Thailand, Adisak Kraisorn, buat kali kedua walaupun mengakui cabaran sukar menantinya dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2018 esok.

Shahrul mmepamerkan gandingan mantap bersama Aidil Zafuan Abdul Radzak dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Mereka berjaya mengekang asakan lawan, terutama daripada Adisak, yang langsung tidak diberi ruang untuk mencipta peluang jaringan.

Namun, kedua-duanya belum boleh menarik nafas lega kerana sekali lagi perlu berdepan dengan Adisak di Stadium Rajamangala, esok.

Untuk rekod, penyerang Muangthong United itu cemerlang meledak lapan daripada 14 gol buat skuad Gajah Perang itu di laman sendiri dalam kempen kali ini.

"Aksi timbal-balik nanti akan lebih sukar kerana kami akan bermain di tempat lawan.

"Mungkin semangat mereka akan lebih tinggi berbanding aksi di Bukit Jalil tempoh hari.

"Saya harap rakan-rakan pertahanan yang lain mampu bertahan sehabis baik," kata pemain Perak itu.

Ini merupakan penampilan kedua pertahanan kental Perak berkenaan di pentas Piala AFF selepas edisi 2016.

Sememangnya, Shahrul mengharapkan kemaraan ke pentas final selepas tersingkir di peringkat kumpulan di Yangon, Myanmar, dua tahun lalu.

"Sejak kami tiba di sini, banyak perkara positif yang kami lakukan.

"Kami sangat yakin dan berfikir positif dengan semangat untuk menang, Insya-Allah kami mampu menang ke atas Thailand," katanya.