VIETNAM 2 MALAYSIA 0

Pintu gol Vietnam terus kebal ketika memastikan skuad Harimau Malaya dijinakkan 2-0 untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan A, Piala AFF.


Di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, yang boleh memuatkan 40,000 penyokong itu, skuad kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe sukar menemui jawapan untuk merobek gawang lawan meskipun dalam perkiraan statistik, Malaysia menguasai lebih 60 peratus permainan sebentar tadi.

Malaysia menampilkan kesebelasan utama tanpa kelibat Safawi Rasid dan ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak, dengan memberi laluan kepada Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid manakala Shahrel Fikri Md Fauzi pula mengetuai jentera serangan.

Walaupun terlebih dahulu melancarkan asakan, namun pertahanan negara roboh seawal minit ke-11 menerusi Nguyen Cong Phuong akibat kealpaan.

Situasi hampir serupa berulang dalam babak berikutnya dan Malaysia beroleh peluang terbaik untuk mengikat kedudukan pada minit ke-57.

Begitupun, sepakan percuma deras Safawi itu ditepis keluar sebelum Nguyen Anh Duc melebarkan kedudukan juara edisi 2008 itu dengan melepaskan rembatan rendah dengan kaki kirinya sebaik permainan memasuki minit ke-60.

Kemasukan Syafiq Ahmad dalam baki 20 minit permainan, melengkapkan kuota tiga pertukaran susulan kemasukan Safawi dan Ahmad Hazwan Bakri lebih awal, juga masih belum berhasil untuk menggugat Vietnam yang cukup berdisiplin untuk mematahkan sebarang gerakan berbahaya daripada Malaysia.

Menuju masa kecederaan, Malaysia meningkatkan aksi dengan melancarkan beberapa hantaran lintang, namun skuad Naga Emas berkenaan tetap kental mempertahankan kelebihan.

Vietnam akan mengharungi aksi ketiga dengan bertemu Myanmar pada Selasa depan sebelum membuat perhitungan terakhir Kumpulan A yang akan berlangsung serentak pada 24 November nanti.

Dengan itu, Malaysia -- menduduki tangga ketiga kumpulan -- akan menentang pendahulu semasa, Myanmar, manakala Vietnam berdepan Kemboja.

"Kami bermain lebih baik berbanding aksi dalam dua perlawanan terdahulu.

"Namun, kami tumpas disebabkan transisi pemain serta ketumpulan di bahagian serangan.

"Sekali lagi dalam separuh masa kedua, kami melepaskan gol dalam tempoh 10 minit pertama.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan kami dan sudah pasti ia pengajaran berguna buat pemain saya," kata Cheng Hoe sejurus tamat perlawanan.