Tiada siapa mampu menafikan Vietnam merupakan pasukan terbaik dalam pemburuan kejuaraan kedua Piala Suzuki AFF edisi ini.

Kejayaan menyingkirkan Filipina dalam pusingan separuh akhir dengan aggregat 4-2, malam tadi, menjadi amaran bahawa pasukan itu bersedia menjulang kejuaraan.

Vietnam, kali terakhir ke final pada edisi 2008 di mana mereka menewaskan Thailand bagi menjulang kejuaraan.

Namun, prestasi mereka merudum selepas itu sehinggalah Park Hang Seo menerajui skuad Naga Emas itu pada 2017.

Selain ranking Vietnam melonjak ke tangga ke-100 dunia, Hang Seo turut berjaya membawa pasukan itu ke final Piala Suzuki AFF 2018.

Bagi Hang Seo, dia hanya memerlukan sedikit perubahan untuk mengecewakan Malaysia dalam aksi final.

"Kami menewaskan Malaysia 2-0 dalam aksi peringkat kumpulan walaupun mereka memiliki barisan penyerang terbaik dalam kejohanan ini.

"Jadi, kami perlu beraksi lebih baik di peringkat final untuk merealisasikan impian kami," katanya.

Dalam pada itu, bekas jurulatih England yang kini membimbing Filipina, Sven-Goran Eriksson, turut memilih Vietnam sebagai calon menjulang kejuaraan edisi ini.

"Saya berasakan Vietnam adalah pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

"Pada awalnya, saya fikirkan Filipina merupakan pasukan terbaik tetapi tidak.

"Vietnam sudah pasti pasukan pilihan untuk muncul juara," katanya.

Justeru, dengan mengambil kira pandangan jurulatih sehebat Eriksson dan keghairahan Hang Seo, Malaysia bakal berdepan perlawanan paling sukar dalam final pada Selasa dan Sabtu depan.