Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan tiga penerbangan sewa khas mungkin diaturkan bagi membawa penyokong skuad Harimau Malaya menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF di Hanoi, Sabtu depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya sedang berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan negara mengenai perkara itu supaya lebih ramai peminat bola sepak tempatan dapat memberikan sokongan kepada skuad negara dalam perlawanan berkenaan.

"Semasa perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok sebelum ini, pihak AirAsia bersetuju menyediakan penerbangan sewa khas dan kali ini, saya akan pastikan perkara sama berulang, cuma kami nak tambahkan lebih banyak penerbangan.

"Saya sedang berbincang dengan pihak Malaysia Airlines dan juga AirAsia.

"Kami mahu suara Ultras Malaya didengari dalam perlawanan akhir kedua tersebut,” katanya ketika menghadiri program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, hari ini.

Bagaimanapun, Syed Sadiq berkata sebarang keputusan mengenai usaha tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perlawanan akhir yang menggunakan format timbal balik itu akan dimulakan dengan aksi dengan skuad negara menerima kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan, sebelum aksi final kedua di Hanoi, empat hari kemudian.

-- BERNAMA