Piala AFF: Thailand kekang kegarangan Harimau Malaya

Oleh Staff Writer 1 Disember 2018 6223
Piala AFF: Thailand kekang kegarangan Harimau Malaya
MALAYSIA 0 THAILAND 0

Hasrat Malaysia untuk mendapatkan bekalan selesa dalam aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 terpaksa dilupakan apabila sekadar seri 0-0 dengan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.


Deretan peluang demi peluang yang dilepaskan, terutama dalam separuh masa pertama, jelas membuatkan Harimau Malaya terpaksa menunggu aksi kedua di Thailand, Rabu ini, walaupun menguasai hampir keseluruhan perlawanan sejak wisel permulaan lagi.

Selepas muncul naib juara Kumpulan B hasil daripada tiga kemenangan dan satu kalah, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu melayan kunjungan Thailand dengan misi mendapatkan bekalan sebelum aksi kedua di tempat lawan.

Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, hampir menggamatkan puluhan ribu penyokong di Bukit Jalil seawal minit keempat apabila menyambut bola muntah hasil percubaan Syahmi Safari, namun rembatan kaki kanan pemain berusia 21 tahun itu tinggi melewati palang gol.

Safawi sekali lagi terlepas peluang keemasan pada minit ke-18, kali ini menerusi rembatan kaki kiri setelah menerima hantaran pendek Mohamadou Sumareh dan percubaannya memaksa penjaga gol pelawat, Chatchai Bootprom, melayangkan badan untuk menafikan pendahuluan Malaysia.

Barisan serangan skuad kebangsaan yang dibarisi Sumareh, Safawi, Norshahrul Idlan Talaha dan kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak, jelas mengucar-kacirkan benteng pelawat tetapi masing-masing tampak buntu mencari jaringan pembukaan.

Dua ruang untuk membuat rembatan yang diraih Sumareh turut dilepaskan apabila sepakannya sipi ke kanan dan kiri gawang walaupun Chatchai sudah tertewas.

Setelah peluang demi peluang dilepaskan dalam babak pertama, Malaysia terus kempunan untuk menggegarkan jaring gol anak buah Milovan Rajevac itu, termasuk aksi minit ke-64 apabila Norshahrul melepaskan rembatan melewati palang setelah hantaran Zaquan Adha membuka ruang buat penggempur Pahang itu.

Norshahrul, penjaring terbanyak Malaysia dalam kejohanan dengan empat gol, sekali lagi kecewa apabila gerakannya mudah dibaca lawan lima minit kemudian sebelum Safawi terus meleburkan peluang menerusi sepakan kaki kiri yang melambung tinggi.

Kesempatan terbaik buat Harimau Malaya meraih sekurang-kurangnya bekalan satu gol sebelum ke tempat lawan hadir ketika perlawanan memasuki waktu kecederaan tetapi Safawi sekali lagi melepaskan tendangan liar susulan hantaran pendek yang diterima daripada pemain gantian, Nazirul Naim Che Hashim.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat permainan dan Malaysia jelas berdepan tugas getir apabila bakal membuat perhitungan untuk ke final dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Rabu ini.


Kredit foto: Facebook FAMalaysiaOfficial
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen