Piala AFF: Sumareh rela lupakan kesakitan demi negara

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 18160
Piala AFF: Sumareh rela lupakan kesakitan demi negara
Kesungguhan pemain tengah Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh, jelas terserlah apabila dia mendedahkan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ketika membantu skuad negara menyingkirkan Thailand dalam separuh akhir kedua, Piala Suzuki AFF, kelmarin.

"Saya sanggup bermain dalam kesakitan jika diperlukan."

Demikian ikrar Sumareh jika perkara itu berulang dalam aksi final bertemu Vietnam, Selasa depan.

Sumareh menjelaskan dia terpaksa mengambil ubat penahan sakit bagi memastikan dirinya dapat diturunkan ekoran masih dibelenggu kecederaan paha.

Namun, pemain kelahiran Gambia itu tetap mengutamakan kepentingan pasukan jika dia tidak mampu memberikan aksi terbaik kepada skuad negara.

"Jika saya terpaksa mengorbankan diri untuk Malaysia, saya akan lakukannya.

"Jika saya tidak mampu beraksi dan pasukan mempunyai pengganti yang lebih baik, saya sedia mengundurkan diri.

"Jika saya dapat beraksi, saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia menjulang kejuaraan kedua Piala Suzuki AFF," katanya.

Biarpun kali pertama bersama pasukan negara dalam kejohanan kompetitif, Sumareh seakan-akan tidak percaya berjaya membantu Harimau Malaya ke perlawanan akhir.

Justeru, dia tidak mahu langkah pasukan terhenti dan berharap mampu menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan skuad negara.

"Saya meletakkan sasaran dalam mewakili skuad negara.

"Saya tidak mahu menyertai pasukan dengan sekadar menjadi pemain pelengkap.

"Saya bersyukur kerana berjaya ke final.

"Namun, sasaran saya bukan sekadar ke peringkat itu.

"Saya mahu membawa pulang kejuaraan buat negara.

"Itu adalah sasaran sebenar saya," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen