Piala AFF: Stuart jelaskan isu tiket dijual lebih awal

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 6954
Piala AFF: Stuart jelaskan isu tiket dijual lebih awal
Sebanyak 10,000 tiket final Piala Suzuki AFF 2018 ditambah untuk dijual oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penjualan atas talian hari ini selepas 20,000 tiket habis terjual dalam masa yang singkat. 

Kecoh di laman sosial apabila ramai peminat bola sepak negara gagal mendapatkan tiket secara atas talian yang dibuka sejak jam 8.30 pagi tadi.

Namun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, tampil memberikan penjelasan secara terperinci mengapa situasi itu boleh berlaku.

"Pihak FAM telah memanggil pengurusan Ticket Hotline dan peruntukan setiap hari adalah sebanyak 20,000 tiket. Ia sudah dikongsi menerusi media sosial tatkala dijadualkan mula dijual jam 9 pagi," kata Stuart.

"Penjelasan daripada pihak Hotline adalah tiket dibuka lebih awal dengan tujuan untuk sesi percubaan. Namun, 500,000 orang sudah menunggu untuk membeli tiket pada jam 8.30 pagi.

"Pihak pengurusan Hotline menutup talian selepas 20 minit dan membukanya semula pada jam 9 pagi. Kuota untuk hari ini memang telah habis dalam masa yang singkat."

Dalam masa sama, Stuart memberikan berita gembira apabila mengumumkan FAM akan menambah 10,000 tiket lagi untuk hari ini.

"Saya telah menerima perkhabaran daripada presiden FAM agar 10,000 tiket lagi dijual untuk hari ini," tambah Stuart.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen