Piala AFF: Sekat pemain nombor 19, 14, kata Richard

Oleh Staff Writer 8 Disember 2018 4282
Piala AFF: Sekat pemain nombor 19, 14, kata Richard
"Sekat pemain nombor 19 dan 14 untuk musnahkan Vietnam."

Itu pandangan penganalisis bola sepak negara, Richard Scully, yang menyifatkan Nguyen Quang Hai dan Nguyen Cong Phuong, sebagai nadi utama kekuatan Vietnam sepanjang kempen Piala Suzuki AFF, kali ini.


Skuad Naga Emas itu mencetus gerun kem bola sepak negara selepas melangkah ke perlawanan akhir dengan rekod tanpa kalah.

Dua pemain utama, Quang Hai dan Cong Phuong, memainkan watak penting kemaraan pasukan itu dengan masing-masing merekodkan tiga gol setakat ini.

Richard mengakui kelibat kedua-dua pemain sayap lincah itu perlu dirantai rapi agar skuad negara tidak berputih mata dalam aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

"Mereka mempunyai kekuatan di bahagian kanan dan kiri.

"Kedua-dua pemain sayap mereka mampu menjadi penghubung kepada jentera serangan.

"Ia pendekatan yang sentiasa mereka gunakan dalam menjana serangan," katanya.

Perlawanan Selasa ini merupakan pertemuan kedua buat kedua-dua pasukan dalam kempen kali ini.

Vietnam menewaskan Malaysia 2-0 dalam aksi peringkat kumpulan di Hanoi, 16 September lalu.

Richard sedar kekalahan itu pasti memberikan pengajaran berguna buat pemain-pemain negara, terutama dalam mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

"Skuad negara perlu mengelakkan kesilapan-kesilapan kecil di bahagian pertahanan yang mampu mengundang padah.

 "Kesilapan lalu merupakan proses pembelajaran, namun ia tidak boleh berulang dalam aksi final," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen