Piala AFF: Safawi tekad padamkan memori pahit di Hanoi 

Oleh Staff Writer 8 Disember 2018 2164
 Piala AFF: Safawi tekad padamkan memori pahit di Hanoi 
Harimau Malaya perlu berwaspada dengan serangan balas Vietnam andai berhasrat membawa bekalan selesa ke Hanoi, Sabtu depan. 

Menjelang pertemuan pertama perlawanan akhir Piala AFF 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini, Safawi Rasid menegaskan dia dan rakan-rakan telah belajar sesuatu selepas tumbang 0-2 kepada lawan yang sama di peringkat kumpulan, 16 November lalu. 

"Kami pernah bertemu mereka di peringkat kumpulan, sedikit-sebanyak kami tahu corak permainan mereka. 

"Kami sudah pun memulakan persiapan untuk berdepan mereka dalam pertemuan pertama perlawanan akhir nanti. 

"Kami akan cuba sekat perancangan mereka dan menggunakan kelebihan yang kami ada berlandaskan taktikal jurulatih," kata tonggak negara itu dalam satu temu bual [email protected], hari ini. 

Dalam masa sama, Vietnam juga mempertaruhkan ramai pemain muda yang muncul finalis dalam Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu. 

"Mereka sangat bagus daripada segi serangan balas selain beberapa pemain berbahaya mereka seperti Nguyen Van Quyet, Nguyen Anh Duc dan Nguyen Quang Hai yang perlu diawasi sekiranya kami ingin bergelar juara," katanya. 

Sungguhpun mempamerkan persembahan memukau dalam kempen Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos lalu, lebih-lebih lagi dengan meledak dua gol ketika mengejutkan pilihan juara, Korea Selatan, 2-0 di peringkat kumpulan, namun Safawi masih buntu jaringan dalam penyertaan sulungnya dalam Piala AFF. 

"Saya tidak akan berputus asa dan akan terus mencuba. 

"Saya cuma perlu bersabar menantikan rezeki saya.

"Walaupun saya memenangi tiga gelaran dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 -- Pemain Paling Bernilai, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan -- itu masih tidak mencukupi dan saya bertekad untuk melengkapkan gemilang tahun ini dengan mendakap Piala AFF," tambahnya. 

Safawi turut menghargai sokongan yang diraih skuad kebangsaan sepanjang kempen kali ini, lebih-lebih lagi ketika mengharungi aksi getir separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu lalu, sambil mengakui peranan besar yang dimainkan 'ekor Harimau Malaya' itu.

"Saya ingin merakamkan terima kasih kepada penyokong Malaysia yang hadir di Bangkok tempoh hari. Kami amat gembira dengan kejayaan di Thailand kerana sudah lama tidak mengecapi kemenangan di sana. 

"Kami berjaya melakar keputusan yang baik untuk melangkah ke final. 

"Peminat tidak jemu-jemu memberi sokongan padu di Bangkok serta peminat di tanah air yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan kami," katanya lagi. 




 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen