Penyerang negara, Safawi Rasid, bertekad mahu menjadikan pertemuan menentang Vietnam sebagai medan membuka akaun jaringannya bersama Harimau Malaya apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF, malam ini.

Safawi merupakan pemain yang cukup menyerlah menerusi beberapa jaringan dalam siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

Namun, dia masih belum menemui sebarang sentuhan jaringan dalam kempen Piala AFF musim ini.

Justeru, dia mahu menamatkan pemburuan itu dalam aksi penting berdepan Vietnam di Hanoi.

"Saya sedar saya tidak beraksi baik dalam dua perlawanan terdahulu.

"Jika diberikan peluang untuk beraksi malam ini, saya akan memenuhi kemahuan peminat tempatan yang mahukan saya menjaringkan gol," katanya.

Vietnam membawa reputasi besar dalam saingan kali ini selepas pasukan B-23 mereka mara ke separuh akhir Kejohanan AFC tahun ini.

Safawi sedar akan persaingan yang bakal dihadapi itu sambil mengharapkan rakan sepasukannya lebih menumpukan kepada aspek kekuatan fizikal dan mental.

"Kami tahu keupayaan Vietnam.

"Kami tidak boleh mengambil mudah dan perlu fokus terhadap kekuatan mental dan fizikal.

"Jika kami mampu mengekalkannya, kami pasti berjaya membawa pulang keputusan yang positif," tambahnya.