Piala AFF: Rantai pemain utama Naga Emas -- Shahrul 

Oleh Staff Writer 16 November 2018 165
 Piala AFF: Rantai pemain utama Naga Emas -- Shahrul 
Pertahanan negara, Shahrul Saad, menuntut kerjasama berpasukan untuk mengekang Vietnam apabila kedua-dua pasukan turun berentap dalam aksi berprofil tinggi Kumpulan A, Piala AFF 2018 di Stadium Nasional My Dinh, malam ini. 

Barisan pertahanan negara dijangka menjadi pemain paling sibuk dalam pertemuan menentang juara 2008, Vietnam.

Ia susulan lawan mempunyai kekuatan yang cukup jitu di jentera serangan yang bakal diketuai Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Quang Hai yang digelar 'Messi Vietnam'.

Malah, penyerang senior, Nguyen Van Quyet, juga perlu diawasi pertahanan negara yang akan ditunjangi Shahrul dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"Skuad Vietnam mempunyai pemain-pemain yang agak baik, terutama di bahagian serangan. 

"Ada beberapa beberapa pemain yang perlu diawasi dan saya harap barisan pertahanan negara boleh memberikan yang terbaik.

"Kami perlu fokus kepada penggerak utama pasukan mereka dan yang paling penting, kami harus bermain sebagai satu pasukan dan kami mungkin meraih kemenangan di sini," ujar Shahrul.

Berdasarkan kekuatan lawan, pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, bakal mempertaruhkan dua pemain tengah bertahan untuk mengukuhkan kubu pasukannya.

Ini mungkin menyaksikan pemain seperti Syamer Kutty Abba dan Kenny Pallraj diberi peluang beraksi bagi membantu skuad negara meraih keputusan positif.

"Skuad Vietnam memiliki kemahiran dan taktikal, begitu juga kami.

"Kami boleh bersaing dengan mereka dan daripada segi taktikal, jurulatih tahu apa yang perlu dibuat.

"Saya akan berikan yang terbaik," kata Syamer.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen