Penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, percaya perancangan jurulatih, Tan Cheng Hoe, akan membantu Malaysia membalas dendam kekalahan kepada Vietnam dalam aksi peringkat kumpulan tatkala kedua-dua pasukan bertemu dalam final pertama Piala Suzuki AFF 2018, Selasa ini.

Selepas dikecewakan Vietnam di tempat lawan dalam aksi peringkat kumpulan itu 16 November lalu, Norshahrul bertekad ingin bertemu semula seteru itu dalam final.

Kini, apa yang dihajatinya itu menjadi kenyataan dan sudah pasti segala kesilapan dan kelemahan dalam aksi di Hanoi itu akan diatasi menjelang aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Momentum serta keyakinan selepas menyingkirkan juara bertahan, Thailand, menerusi peraturan jaringan tempat lawan, Rabu lalu, juga memberikan impak tersendiri kepada skuad negara.

"Saya pernah mengatakan yang kami akan berdepan Vietnam dalam final.

"Alhamdulillah, ia terjadi.

"Setiap pemain dalam semangat yang tinggi untuk berdepan mereka.

"Tentang aspek taktikal, ia terserah kepada jurulatih untuk menentukan yang terbaik buat pasukan," katanya.

Aksi separuh akhir kedua di Bangkok menyaksikan jaringan penyamaan Norshahrul memastikan kemaraan Malaysia ke final.

Ia juga jaringan kelima penyerang Pahang itu dalam kempen kali ini.

Mengulas mengenai peluangnya merebut anugerah penjaring terbanyak kejohanan, Norshahrul menjelaskan ia bukan keutamaannya ketika ini.

Apa yang lebih penting adalah memastikan skuad negara meraih keputusan positif dalam aksi pertama nanti.

"Saya tidak kisah siapa yang akan menjaringkan gol buat pasukan.

"Apa yang pasti, saya perlu bekerja keras untuk memberikan aksi terbaik dalam perlawanan akhir nanti," katanya lagi.