MALAYSIA 3 LAOS 1

Skuad bola sepak kebangsaan meraih kemenangan kedua dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF selepas menewaskan Laos 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Gol daripada Zaquan Adha Abdul Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha menamatkan pendahuluan awal pelawat dalam separuh masa pertama.

Di sebalik penguasaan dalam lima minit pertama perlawanan, skuad negara dikejutkan dengan jaringan awal Laos menerusi sepakan percuma Phithack Kongmathilath yang menewaskan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, pada minit ketujuh.

Harimau Malaya kembali mencatur gerakan selepas itu dengan beberapa kali mengancam kubu lawan, antaranya menerusi percubaan Norshahrul yang ditepis penjaga gol lawan, Saymanolinh Praseuth, pada minit kesembilan.

Gol penyamaan Malaysia hadir pada minit ke-15.

Menerusi gerakan menarik bersama Safawi Rasid di sebelah kanan padang, Syahmi Safari menghasilkan hantaran lintang yang mudah ditolak masuk Zaquan untuk skuad negara kembali mengikat kedudukan.

Penguasaan hampir sempurna dipaparkan pasukan kebangsaan dalam babak kedua, namun kerap kali dikecewakan kekentalan Praseuth.

Situasi kelam-kabut di hadapan gawang Laos dimanfaatkan Norshahrul yang menolak bola di bahagian kiri Praseuth untuk Malaysia mengemudi perlawanan buat kali pertama.

Kebangkitan tersebut dilengkapkan Norshahrul menerusi gol kedua peribadi selepas menanduk masuk bola lambungan Akhyar Rashid pada masa kecederaan.

"Kami tidak dapat mempamerkan aksi sebenar kami dalam babak pertama," kata Cheng Hoe.

"Kami melakukan kesilapan sehingga mereka dapat menjaringkan gol awal.

"Aksi dalam babak kedua lebih baik dan kami berjaya memenangi perlawanan itu.

"Pemain perlu belajar daripada kesilapan dan perlu memperbaikinya dalam perlawanan menentang Vietnam nanti.

"Saya berpuas hati kerana kami berjaya meriah tiga mata berharga," katanya lagi.

Keputusan lain Kumpulan A:
MYANMAR 4 KEMBOJA 1