Vietnam mengeksploitasi kekuatan Malaysia sehingga menjadi titik kelemahan dan kini perubahan taktikal menjadi keperluan untuk memenuhi potensi sebenar skuad yang sudah dipilih Tan Cheng Hoe.

Falsafah hantaran pendek yang diterapkan Cheng Hoe sambil bersandarkan kepada penggunaan pemain tengah bersifat bertahan masih belum menambat hati penyokong bola sepak tanah air.

Malah, aset Malaysia berpaksikan kepada bahagian sayap dapat dibaca Vietnam sehingga menjadi sumber kepada taktikal yang menjana kemenangan mereka.

Mungkin sudah tiba masanya sedikit pertukaran taktikal dilakukan bagi membolehkan Norshahrul Idlan Talaha kembali menyinar dengan peranan sebagai pemain tengah menyerang merangkap penyerang sokongan dalam formasi 4-2-3-1.

"Melihat kepada senarai pemain dalam pasukan, saya melihat hanya perubahan posisi yang perlu dilakukan, terutama Norshahrul Idlan Talaha.

"Dia mempunyai kemahiran individu yang baik dan visi yang luas kerana kita masih mempunyai ramai penyerang, iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Mohamadou Sumareh dan Zaquan Adha Abdul Radzak.

"Akhyar Rashid dan Safawi Rasid pula boleh diletakkan di bahagian sayap," kata bekas pemain kebangsaan dan pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir.

Dalam masa sama, tempoh rehat selama seminggu sebelum kembali beraksi pada Sabtu depan mencetuskan kegusaran kepada kemampuan Malaysia untuk mengekalkan sebarang momentum positif.

"Tempoh rehat ini akan memberi ruang kepada Cheng Hoe untuk memperbaiki pasukannya.

"Kalau tanpa perlawanan dalam tempoh seminggu, ia tidak mengganggu momentum pasukan melainkan sekiranya berehat selama dua, tiga minggu.

"Apatah lagi skuad Harimau Malaysia banyak melakukan perjalanan ke tempat lawan ketika ini, situasi ini sudah tentu memberikan sedikit kelebihan kepada pasukan negara, " katanya lagi.