Meskipun barisan negara tidak beraksi pada tahap terbaik berdepan Kemboja dalam aksi sulung Piala AFF kali ini, kemenangan negara didukungi seorang pemain veteran dan seorang tonggak muda.

Penyerang kelahiran Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha, menjaringkan gol tunggal negara ketika aksi berdepan Kemboja selain turut memainkan peranan penting dalam formasi 4-2-3-1 skuad kebangsaan.

Norshahrul turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik Phonm Penh, semalam.

Norshahrul yang membuat penampilan Piala AFF buat kali kelima, menganggap pengiktirafan itu akan menjadi perangsang buatnya membantu kemaraan jauh negara kali ini.

"Kami menyedari Malaysia gagal mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan ini kerana ia merupakan perlawanan pertama bagi saingan kali ini.

"Saya bersyukur apabila dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya," katanya.

Selain Norshahrul, seorang lagi pemain yang turut cemerlang ialah Syamer Kutty Abba.

Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mempamerkan ketenangan dalam mengemudi jentera tengah skuad negara.

"Ini merupakan perlawanan pertama saya dalam saingan Piala AFF. Kami akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi mutu permainan bagi perlawanan seterusnya," kata Syamer.