Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, tidak rela kempunan buat kali kedua di tangan Thailand di pentas Piala AFF apabila bertekad untuk memastikan Harimau Malaya pulang ke tanah air dengan kejayaan melangkah ke final.

Pertemuan menentang Thailand tampak mengimbau kenangan Cheng Hoe ketika beliau bersama skuad negara dalam kejohanan edisi 2012.

Ketika itu, beliau yang menjadi pembantu kepada Datuk K. Rajagobal dikecewakan skuad Gajah Perang itu di peringkat separuh akhir.

Skuad negara tewas dengan agregat 1-3 selepas seri 1-1 dalam pertemuan pertama di tempat sendiri sebelum tunduk 0-2 dalam aksi timbal-balik di tempat lawan.

Jelas, situasinya mirip edisi ini susulan skuad negara terikat tanpa jaringan di Bukit Jalil kelmarin, namun beliau mengharapkan pertemuan di Stadium Rajamangala kali ini memihak Harimau Malaya.

"Saya sedar aspek psikologi boleh memberi kesan kepada pemain, terutama rekod gagal meraih kemenangan ketika bertandang di tempat lawan.

"Kami perlu mengubah nasib kami kali ini.

"Kami perlu tampil dengan lebih yakin dan mempercayai kekuatan pasukan, khususnya ketika beraksi di tempat lawan, bahawa kami mampu menampilkan semangat dan kerjasama berpasukan," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Milovan Rajevac, tampak terpaksa mengorbankan falsafah permainan bertahan tuan rumah.

Bekas pengendali Ghana -- skuad semifinalis dalam Piala Dunia 2010 -- itu menegaskan pasukannya akan turun menyerang habis-habisan bagi mencapai kemenangan dalam pertemuan esok.

"Sudah pasti, kami mahu menang perlawanan ini dan seperti saya katakan sebelum ini, kami bukannya mahu main bertahan tetapi lawan yang memaksa kami main bertahan, jadi kami akan serang habis-habisan esok," kata Rajevac.