"Suasana pasti berbeza dalam final."

Demikian pandangan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menjelang aksi final Piala Suzuki AFF 2018, dengan Vietnam sekali lagi menjadi halangan utama pemburuan kejuaraan.


Malaysia dan Vietnam pernah berentap dalam saingan peringkat kumpulan di Hanoi dengan kemenangan 2-0 memihak skuad Naga Emas itu menerusi jaringan Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Anh Duc.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi final secara timbal balik, Selasa dan Sabtu depan.

Cheng Hoe, berasakan semangat dan keyakinan skuad kebangsaan kini jauh berbeza berbanding aksi terdahulu.

"Keyakinan pemain meningkat selepas menewaskan Thailand.

"Saya berharap kami dapat mengekalkan corak dan momentum permainan.

"Semangat berpasukan pemain negara kini juga berada pada tahap terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe masih resah memikirkan tahap kecergasan tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak, yang mengalami kecederaan dalam aksi separuh akhir kedua di Bangkok, kelmarin.

Selain itu, beliau perlu mencari pengganti kepada Syahmi Safari yang menjalani penggantungan satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut.

Namun, Cheng Hoe, percaya setiap pemain akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin sekiranya diberikan peluang membarisi kesebelasan utama.

"Setiap pemain sudah bersedia untuk diturunkan.

"Aidil berkemungkinan besar terpaksa direhatkan.

"Syahmi telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang kejohanan dan siapa yang bakal diturunkan nanti perlu mengambil situasi itu sebagai cabaran bagi mengisi kekosongan tersebut," tambahnya.