Biarpun diletakkan selaku pasukan bukan pilihan, Laos percaya mereka mungkin memiliki ‘kelebihan’ menjelang aksi kedua Kumpulan A, Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 berdepan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ketua jurulatihnya, V. Sundramoorthy, yang merupakan watak utama dalam merencanakan pasukan Laos, menghabiskan sebahagian besar kariernya beraksi dalam Liga Malaysia sebelum membimbing kelab dari Singapura, Lions Xll, untuk melepasi jangkaan banyak pihak apabila menjulang kejuaraan Liga Super Malaysia pada 2013.

Pengendali berasal dari Singapura itu yang dikatakan antara pemain terbaik dan berbakat negara berkenaan, berkata pengalaman diperolehnya beraksi dalam Liga Malaysia sudah tentu akan membantu dalam persiapan pasukannya berdepan anak buah Tan Cheng Hoe, malam esok.

“Maksud saya, (pengalaman) ini akan membantu kerana saya tahu kebolehan pemain dalam pasukan Malaysia. Saya tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Jadi, ia memberi kelebihan kepada saya dalam merencana perancangan apabila menentang mereka.

“Pemain seperti Sumareh, Safawi, Norshahrul dan Zaquan, empat pemain ini boleh mengucar-kacirkan benteng pertahanan kami, maka kami perlu benar-benar bersedia,” katanya dalam sidang media menjelang perlawanan berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pada masa sama, Sundramoorthy yang dilantik sebagai ketua jurulatih Laos sejak sebulan lalu, yakin pasukannya mampu mencuri mata dalam pertemuan menentang Malaysia jika anak buahnya berjaya menyerap tekanan di padang, esok.

“Saya mengakui Laos adalah pasukan bukan pilihan, namun kami akan menampilkan aksi terbaik bagi mendapatkan mata,” katanya.

Pasukan bimbingan Sundramoorthy itu tumpas 0-3 kepada Vietnam dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan di Vientiane, Laos, manakala Malaysia menewaskan Kemboja 1-0 di tempat lawan.

-- BERNAMA