Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe, mahu menjadikan memori manis kejayaan edisi 2010 sebagai sumber inspirasi buat anak buahnya menghadapi Vietnam dalam final Piala Suzuki AFF 2018, minggu depan.

Skuad negara muncul juara edisi itu di bawah kendalian bekas ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal, lapan tahun lalu.

Cheng Hoe pula bertindak selaku pembantu kepada Rajagobal ketika meraih kejuaraan pertama Harimau Malaya dalam saingan Piala Suzuki AFF.

"Ia skrip yang lebih kurang sama seperti edisi 2010.

"Ketika itu, kami tewas kepada Indonesia dalam perlawanan peringkat kumpulan, namun bangkit dalam aksi final untuk meraih kejuaraan.

"Kejayaan itu pasti menjadi pemangkin semangat buat kami," katanya.

Mengulas cabaran yang dilalui bagi mempersiapkan pasukan mantap sehingga mara ke peringkat final, Cheng Hoe berkata: "Cabaran paling besar adalah ketika kehilangan pemain yang diidamkan ekoran kecederaan.

"Selepas beberapa siri perlawanan persahabatan yang diatur, saya dapat mengenal pasti pemain yang bersesuaian untuk membentuk pasukan yang mantap.

"Saya yakin, jika melakukan tugas dengan ikhlas dan jujur, kejayaan pasti akan datang."

Ditanya mengenai aksi final yang bakal dilalui, Cheng Hoe berasakan Vietnam merupakan pasukan yang lebih baik daripada Thailand yang ditewaskan dalam aksi separuh akhir, Rabu lalu.

"Thailand mempunyai kualiti dan pengalaman, namun Vietnam mampu beraksi sebagai satu pasukan yang baik.

"Barisan pertahanan perlu sentiasa fokus bagi mengelakkan kesilapan lalu berulang," katanya.