Piala AFF: Kaunter khas buat penyokong ke Bangkok

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 5618
Piala AFF: Kaunter khas buat penyokong ke Bangkok
Sebanyak 3,000 tiket final pertama Piala Suzuki AFF 2018 akan dijual di kaunter khas buat penyokong Malaysia yang hadir ke Bangkok bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua berdepan Thailand, kelmarin.

Ia sebagai tanda menghargai komitmen penyokong Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Rajamangala itu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bersetuju untuk menyediakan 3,000 tiket yang akan dijual di kaunter khas, bermula Ahad ini.

Penyokong yang dianggarkan seramai 1,500 orang itu perlu menunjukkan keratan tiket separuh akhir kedua menentang Thailand dan hanya pembelian dua tiket dibenarkan bagi setiap keratan.

Lokasi kaunter khas itu masih dalam perbincangan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

"Lokasi untuk menebus tiket itu masih belum diputuskan kerana ia memerlukan kawalan keselamatan dan kami perlu memastikan kaunter tersebut berbeza dengan penyokong yang membeli tiket secara fizikal," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. 

FAM memberi jaminan penjualan baki 10,000 tiket di atas talian akan bermula tepat jam 9 pagi, esok.

Ia tidak seawal jam 8.30 pagi yang menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong, hari ini.

Baki 40,000 ribu tiket lagi akan dijual secara fizikal, Ahad ini.

"Setelah mengadakan perbincangan dengan pengurusan Ticket Hotline, kami mendapati terlalu ramai yang membeli tiket dalam masa yang ditetapkan.

"Peruntukan tiket atas talian hanya 20,000 dan ia pasti akan habis dalam masa yang singkat," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen