“Vietnam, nantikan sesuatu yang istimewa daripada Harimau Malaya.”

Demikian amaran jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, yang bukan sahaja mahu melunaskan dendam terhadap skuad Naga Emas itu tetapi meraih bekalan selesa dalam aksi final pertama Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.


Dalam sidang media rasmi hari ini menjelang perlawanan akhir, riak wajah Cheng Hoe begitu tenang berbanding rakan sejawatannya, Park Hang Seo.

Biarpun kelebihan psikologi memihak Vietnam kerana menang 2-0 dalam pertemuan di peringkat kumpulan di Hanoi, 16 November lalu, Cheng Hoe mengingatkan final adalah cerita berbeza.

Kata-kata terakhir Cheng Hoe yang dituju kepada Vietnam itu jelas mencuri perhatian seolah-olah Harimau Malaya akan tampil dengan watak berbeza di pentas akhir.

"Saya tahu pengendali Vietnam pasti memiliki strategi tersendiri untuk menentang kami di Bukit Jalil. Namun, saya yakin sepenuhnya akan kemampuan pemain saya dan kami akan menyediakan satu kejutan buat Vietnam esok," katanya.

Sementara itu, Hang Seo menghormati kemampuan skuad negara yang dilabel pasukan paling kuat dalam aspek serangan di rantau ini.

Nada jurulatih dari Korea Selatan itu juga resah memikirkan sejauh mana kemampuan pemain mudanya beraksi di depan 80,000 penyokong tuan rumah.

“Malaysia sudah tentu sedaya-upaya mencari kelemahan kami selepas tewas dalam peringkat kumpulan.

"Perlawanan akhir sudah tentu berlainan suasananya dan jika ditanya pendapat saya, Malaysia merupakan pasukan terbaik di jentera serangan dalam kalangan 10 negara dalam kejohanan ini,” ujar Hang Seo.