THAILAND 2 MALAYSIA 2
(Agregat 2-2, Malaysia ke final menerusi peraturan jaringan di tempat lawan)

Drama dalam masa kecederaan mencemaskan kem Malaysia, namun kegagalan ayam tambatan Thailand, Adisak Kraison, menyempurnakan sepakan penalti pada saat-saat akhir menghantar Malaysia ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2018, sebentar tadi.


Ia sepatutnya menjadi tendangan terakhir skuad Gajah Perang itu di Stadium Rajamangala, namun Adisak yang mengumpul lapan gol dalam kempen kali ini, gagal melunaskan tanggungjawab tersebut ketika berdepan Farizal Marlias pada saat genting itu sehingga menggagalkan misi Thailand untuk melakar kejuaraan hatrik.

Malaysia terus mempertaruhkan khidmat Mohamadou Sumareh sungguhpun pada awalnya pemain naturalisasi itu dibelenggu kecederaan hamstring sambil Nazirul Naim Che Hashim mengambil tempat Syazwan Andik Ishak yang tercedera di bek kiri.

Malaysia, yang beraksi cemerlang dalam aksi pertama yang berkesudahan 0-0 di Bukit Jalil, Sabtu lalu, bagaimanapun memulakan permainan dengan serba tidak menjadi yang menyaksikan pertahanan negara pincang susulan kecederaan yang menimpa Aidil Zafuan Abdul Radzak pada awal permainan.

Situasi itu memaksa pengendali negara, Tan Cheng Hoe, mengubah percaturan dengan memasukkan Irfan Zakaria bagi menggantikan Aidil dan ketika Malaysia masih mencari rentak, Thailand mengambil kesempatan itu untuk menggamatkan stadium keramat mereka menerusi tandukan Thitipan Puangchan yang cuba dikeluarkan Irfan.

Thailand 1-0.

Jaringan itu ibarat mengejutkan Harimau Malaya yang terluka yang memberikan tindak balas pantas.

Belum puas penyokong tuan rumah meraikan jaringan itu, giliran gawang mereka pula bergegar susulan rembatan kencang pertahanan negara, Syahmi Safari, yang terus menembusi bahagian atas kanan pintu gol yang dikawal Chatchai Budprom.

Jaringan itu mengimbangi tempo permainan, dengan kedua-dua pasukan saling mengatur asakan sehingga separuh masa pertama berakhir.

Thailand kembali menyerlah sejurus keluar dari bilik persalinan dengan beberapa hantaran tinggi mereka nyaris memerangkap benteng negara.

Pada minit ke-63, skuad bimbingan Milovan Rajevac itu kembali memimpin permainan akibat kegopohan Irfan memberikan sepakan percuma.

Hantaran pemain gantian, Sumanya Purisai, mencari kepala Pansa Hemviboon. Meskipun tandukan pertamanya ditepis, tindakan susulan Pansa menghukum kubu negara.

Thailand 2-1.

Jaringan itu mendorong Cheng Hoe untuk sekali lagi membuat pertukaran dengan mengeluarkan Safawi Rasid sambil memberi peluang kepada Akhyar Rashid memacu kebangkitan Malaysia.

Percaturan itu berhasil dengan Norshahrul Idlan Talaha menyumbat gol penyamaan selepas bijak memusingkan badannya sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Chatchai.

Sepuluh minit terakhir permainan menyaksikan Malaysia diasak hebat dan beberapa kali melakukan kesilapan di luar kotak penalti.

Perlawanan kemudian dilanjutkan selama lima minit melewati masa kecederaan.

Kira-kira 30 saat lagi wisel penamat akan ditiupkan, Thailand dihadiahkan penalti selepas Syahmi dikesan menampan bola dengan tangan yang menyebabkannya dilayangkan kad merah bagi kesalahan kad kuning kedua.

Begitupun, Adisak, yang kelihatan yakin semasa meletakkan bola di titik sepakan, hanya mampu menekup mukanya sebaik tendangannya melambung melepasi palang Malaysia.

Satu lagi keputusan aksi kedua separuh akhir yang menemukan Filipina dan Vietnam akan diketahui esok, dengan aksi pertama final akan berlangsung di Bukit Jalil pada Selasa depan manakala pertemuan kedua pada 15 Disember.

"Saya ingin memberikan penghargaan dan pujian tinggi kerana para pemain telah berjuang bermati-matian.

"Sudah tentu perjalanan masih jauh buat pemain muda kami tetapi tiada siapa yang boleh menyangkal keputusan ini dan kami akan mengenangnya selama-lamanya," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, wira negara yang meledak gol penyamaan yang juga merupakan gol kelimanya dalam Piala AFF 2018, Norshahrul, berkata: "Saya syukur sangat-sangat kepada Allah kerana dapat layak ke final.

"Terima kasih kepada jurulatih, isteri dan anak-anak untuk saya terus berjuang dalam bidang ini.

"Dan terima kasih juga kepada rakan-rakan sepasukan yang memberikan aksi 100 peratus, syukur kami layak ke final pada tahun ini."