"Harimau Malaya akan muncul juara."

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, berasakan skuad negara mampu menumpaskan Vietnam untuk muncul juara Piala Suzuki AFF 2018, sekaligus mengulangi pencapaian gemilang edisi 2010.

Keyakinan Rajagobal itu berlandaskan peningkatan prestasi skuad negara dalam kempen kali ini.

Kemuncaknya dapat disaksikan ketika menyingkirkan juara bertahan, Thailand, dalam separuh akhir kedua, Rabu lalu, yang melonjakkan semangat pemain untuk berdepan aksi final, Selasa dan Sabtu depan.

Rajagobal berasakan perkara itu memberi petanda positif buat skuad negara untuk mengakhiri kemarau lapan tahun kejuaraan Piala Suzuki AFF.

"Inilah masanya untuk skuad negara kembali menjuarai Piala Suzuki AFF.

"Walaupun saya yakin mereka mampu melakukannya, Vietnam tetap satu halangan yang sukar," katanya.

Bagaimanapun, Rajagobal tetap berbangga dengan pencapaian pengendali negara, Tan Cheng Hoe, ke final.

Kini, beliau berharap bekas penolong jurulatihnya itu mampu menyamai pencapaiannya ketika meraih kejuaraan sulung pada edisi 2010.

"Saya amat berbangga dengan pencapaian Cheng Hoe bersama skuad negara.

"Dia telah menjalankan tugas dengan ikhlas tanpa niat yang lain.

"Tan bukan sahaja ikhlas, malah bekerja keras untuk mencari kejayaan," tambahnya.