Harimau Malaya bakal menerima sokongan dan suntikan semangat daripada seorang legenda sukan badminton apabila Datuk Lee Chong Wei yang masih menjalani rawatan pasca kanser tetap mahu turun ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, bagi menyaksikan perlawanan akhir pertama Kejohanan Piala AFF 2018 di antara Malaysia dan Vietnam, esok.

"Saya akan cuba turun esok (memberi sokongan).

"Saya tahu ia bukan perlawanan yang mudah untuk negara, apatah lagi Zaquan (Adha Abdul Radzak) adalah rakan baik saya selain bertindak sebagai ketua pasukan.

"Saya harap Harimau Malaya dapat mempamerkan aksi terbaik di tempat sendiri dan di Vietnam.

"Saya harap mereka boleh membawa pulang Piala AFF.

"Saya sedar ia bukan tugas mudah kerana saya juga menonton perlawanan Malaysia menentang Thailand.

"Inilah masanya. Saya harap pemain Malaysia bersemangat tinggi.

"Dengan stadium yang penuh, saya harap rakyat Malaysia yang tidak ke stadium juga tetap mendoakan kejayaan Harimau Malaya.

"Malaysia Boleh," kata pemain perseorangan lelaki negara itu.