Piala AFF: Cheng Hoe kagum semangat juang Malaysia

Oleh Staff Writer 6 Disember 2018 4117
Piala AFF: Cheng Hoe kagum semangat juang Malaysia
“Sangat menakjubkan.”

Itu reaksi pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, selepas anak buahnya menyingkirkan juara bertahan, Thailand, dengan peraturan gol di tempat lawan setelah terikat agregat 2-2 untuk mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2018.


Skuad negara melewati aksi penuh mendebarkan di Stadium Rajamangala dalam aksi separuh akhir kedua itu.

Setelah hanya meraih keputusan seri 0-0 dalam pertemuan pertama di Bukit Jalil, Sabtu lalu, Malaysia terpaksa bangkit dua kali untuk mengikat juara lima kali, Thailand, 2-2 semalam.

Aksi separuh masa kedua itu juga diselitkan dengan insiden pertahanan negara, Syahmi Safari, diperintah meninggalkan padang serta kegagalan penyerang berbisa skuad kendalian Milovan Rajevac itu, Adisak Kraisorn, menyempurnakan sepakan penalti pada saat-saat terakhir permainan.

Keputusan seri 2-2 itu membolehkan skuad negara mengesahkan kemaraan ke final menerusi peraturan gol tempat lawan.

"Satu perasaan bangga dan pujian tinggi buat pemain di atas semangat yang dipamerkan di sepanjang perlawanan," ujar Cheng Hoe.

"Perjalanan masih jauh buat pemain muda ini tetapi tiada siapa mampu menafikan keputusan ini. Ia akan diingati sampai bila-bila."

Malaysia terlebih dahulu ketinggalan hasil jaringan sendiri pemain gantian, Irfan Zakaria, pada minit ke-21 sebelum Syahmi menyamakan kedudukan hasil sepakan gemilang dari luar kotak penalti tujuh minit kemudian.

Tuan rumah sekali lagi di depan pada minit ke-63 menerusi tandukan Pansa Hemviboon tetapi kelebihan itu hanya bertahan lapan minit apabila Norshahrul Idlan Talaha kembali mengikat kedudukan 2-2. 

“Saya kecewa dengan kegagalan kami untuk layak ke perlawanan akhir, namun ini adalah satu pengalaman buat pemain-pemain saya. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia dan mereka memang layak ke final,” kata Rajevac.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen