Kemenangan 4-1 Malaysia ke atas Indonesia dalam kelayakan Piala Asia B-19 tahun lalu bukanlah ukuran sebenar kekuatan semasa pasukan negara.

Dengan kekangan tempoh latihan yang hanya dua hari selain kondisi pemain yang tidak cergas, jurulatih skuad muda negara, Bojan Hodak, memilih untuk bersikap realistik menjelang pertemuan dengan pasukan tuan rumah, Indonesia, dalam separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF B-19 di Kota Surabaya, esok.

Namun, beliau menegaskan perubahan pasukannya selepas melewati tiga perlawanan peringkat kumpulan tampak semakin positif.

"Pasukan bola sepak bermain seperti bertugas di pejabat. Kalau bermain lebih banyak perlawanan bersama, kita akan saling memahami dengan lebih baik.

"Apabila bermain di kelab, jurulatih mengarahkan sesuatu yang berbeza dan apabila tiba di sini, saya mengarakan perkara berbeza.

"Tahun lalu sebelum Piala AFF, kami mempunyai masa dua minggu untuk bersama dan sebelum Piala AFC pula, kami tiga minggu bersama. Kali ini, kami hanya dua hari bersama," katanya.

Dalam pada itu, Hodak melihat tekanan dalam separuh akhir lebih terarah kepada Indonesia memandangkan mereka beraksi sebagai pasukan tuan rumah di samping ribuan penyokong sendiri yang hadir ke stadium.

"Saya tahu penyokong akan memaksa mereka bermain 200 peratus dan ia sudah tentu perlawanan yang sukar bagi kami.

"Mereka adalah pasukan kegemaran kerana bermain di laman sendiri dan tekanan sudah tentu di bahu mereka. Bagi kami, tiada apa-apa mahu dikecewakan," katanya lagi.

Malaysia, yang mengungguli Kumpulan B dengan 10 mata, mara ke separuh akhir untuk berdepan Indonesia.