MALAYSIA 2 BRUNEI 0

Skuad bawah 19 tahun negara melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Brunei 2-0 dalam Kejohanan Bola Sepak Piala AFF B-19 di Kota Surabaya, Indonesia, hari ini.


Malaysia bermula garang dengan banyak membuat percubaan ke kubu Brunei, dengan penyudah Muhammad Syahmi Safari lebih kemas untuk menggegar gawang lawan.

Pemain dari Selangor itu membuat kawalan baik daripada hantaran rakan dari sebelah kiri sebelum melakukan penyudah leret yang gagal disekat dua pertahanan Brunei pada minit keenam.

Tujuh minit selepas itu, Malaysia menggandakan kelebihan hasil jaringan Muhammad Nizarruddin Jazi.

Percubaannya dilihat tidak bertenaga tetapi sudah cukup untuk menerjah gol yang terbuka luas.

Dalam babak kedua, Malaysia kekal bernafsu untuk mencari jaringan tambahan, dengan mereka banyak mengasak ke kubu pertahanan lawan, namun sukar untuk mencari sasaran tepat.

Brunei, yang juga cuba bangkit, banyak menafikan beberapa peluang terbaik negara dalam separuh masa kedua.

Ia adalah kemenangan kedua Malaysia selepas menewaskan Kemboja 2-0, kelmarin.

Malaysia kini menduduki tangga teratas dengan enam mata dalam Kumpulan B yang turut dihuni Timor-Leste dan Myanmar.