Malaysia gagal meneruskan rentak kemenangan setelah seri 1-1 dengan Timor Leste dalam aksi ketiga Kumpulan B, Kejohanan Bola Sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 (B-19) di Jawa Timur, Indonesia, semalam.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad muda negara berkongsi tujuh mata dengan Myanmar, namun pasukan Myanmar mendahului Kumpulan B menerusi kelebihan jaringan.

Dalam aksi di Stadium Joko Samudro itu, Timor Leste mendahului menerusi jaringan Mouzinho B. De Lima seawal minit ke-13 sebelum Muhammad Akhyar Abdul Rashid menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-30, demikian menurut laman sesawang AFF; www.aseanfootball.org.

Terdahulu, Myanmar meraih kemenangan kedua setelah berpesta gol menundukkan pasukan tercorot, Brunei, 7-1 dalam satu lagi aksi di venue yang sama.

Dalam pada itu, skuad wanita negara kembali meraih kemenangan setelah mengalahkan Timor Leste 4-0 dalam aksi keempat Kumpulan A, Kejohanan Bola Sepak Wanita AFF di Stadium Bumi Sriwijaya, Palembang, Indonesia.

Empat gol skuad negara kendalian Jacob Joseph itu dijaringkan Jaciah Jumilis (m-14), Sihaya Ajad (m-19), Norsuriani Mazli (m-68) dan Usliza Usman (m-81).

Kemenangan tersebut, bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Malaysia yang tersingkir daripada kejohanan berkenaan setelah menduduki tangga ketiga di belakang juara kumpulan, Thailand, dan Australia yang membariskan skuad B-20.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B, mara ke separuh akhir.

-- BERNAMA