Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, memuji semangat anak buahnya yang tidak lari daripada berhadapan dengan perasaan gugup melihat kepada lautan penyokong fanatik Indonesia dalam aksi Piala AFF B-19 tahun, semalam.

Malaysia mara ke final menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti 3-2 selepas perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.

Seawal minit ketiga, Egy Maulana -- yang direkrut kelab Poland, Lechia Gdansk -- merobek gawang negara dengan menyempurnakan sepakan penalti.

Enggan ketinggalan, ketua pasukan negara, Muhammad Syaiful Alias, membuatkan penyokong Indonesia tergamam melalui tandukan padu untuk menyamakan kedudukan berselang 12 minit.

"Kami bermula dengan begitu gemuruh kerana seperti yang saya pernah katakan, ada antara anak buah saya yang tidak pernah beraksi di hadapan penyokong padat begini.

"Mereka berasa gentar sehingga mereka bermula dengan buruk. Namun, keadaan berubah lebih baik apabila kami mula memberi tekanan dalam babak kedua," kata Hodak.

Namun, hakikat yang lebih parah buat kem Indonesia yang sekali lagi berputih mata apabila tewas di hadapan ribuan penyokong yang membanjiri Gelora Delta Sidoarjo

"Penyokong menjadi motivasi kepada kami, namun tuhan masih belum memberi keizinan kepada kami untuk melangkah ke final," kata pemain Indonesia, Asnawi Mangkualam Bahar.