Penjaga gol skuad B-19 negara, Mohd Azri Abdul Ghani, tidak takut dengan sorakan pemain ke-12 Indonesia, sebaliknya menegaskan keseluruhan fokusnya ketika ini adalah pentas final Piala AFF B-19.

Jauh sekali gugup dengan kehebatan sokongan rakyat Indonesia yang begitu fanatik dengan pasukan kesayangan mereka, Azri tidak tidak mahu keadaan itu mempengaruhi corak permainan skuad negara.

Bagi Azri, ini merupakan peluang terbaik dia membuktikan kelebihannya mengatasi dua penjaga gol yang lain, sekali gus memberikan pertimbangan mudah buat jurulatih, Bojan Hodak, menjelang saingan Piala AFC B-19, Oktober depan.

"Alhamdulillah, sebab jurulatih dah beri peluang, saya bertekad ingin membuktikan kepada jurulatih dan rakan-rakan bahawa saya boleh melakukan yang terbaik," kata Azri.

Sepanjang kempen Piala AFF B-19 ini, Azri telah tampil dalam kesebelasan utama sebanyak tiga kali sebagai menandakan ia adalah kepercayaan yang diberi Hodak kepada anak jati Kelantan ini.

Perjuangan skuad negara hari ini umpama aksi separuh akhir Piala AFF B-18 pada 2017 yang menyaksikan suasana hampir sama melibatkan jumlah kehadiran penyokong di Myanmar ketika itu.

"Indonesia sebuah pasukan yang handal di samping Thailand. Kami akan cuba yang terbaik dan bersatu hati," katanya.