Penggempur utama Vietnam, Nguyen Anh Duc, mahu melepaskan "geram" dengan memastikan kejuaraan milik skuad Naga Emas itu apabila berdepan Malaysia dalam aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam ini.

Anh Duc menjadi mangsa taktikal pengendalinya, Park Hang Seo, ketika aksi final pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu.

Penyerang berusia 33 tahun ini sekadar memanaskan bangku pemain simpanan dalam pertemuan yang berkesudahan seri 2-2 di Bukit Jalil.

Bagaimanapun, kelibatnya tampak ditagih untuk aksi timbal balik di laman sendiri bagi membantu Vietnam mencapai kemenangan malam ini.

"Saya hanya melihat rakan-rakan beraksi dalam satu suasana perlawanan yang cukup menarik tempoh hari, jadi saya memang tidak sabar beraksi kali ini hanya untuk memastikan pasukan mencapai kemenangan," katanya.

Selain Anh Duc, seorang lagi ayam tambatan Vietnam, Nguyen Cong Puong, juga tidak diturunkan ketika pertemuan pertama tempoh hari.

Kehadiran mereka sudah pasti menguatkan lagi jentera serangan Vietnam dalam usaha mereka memburu jaringan bagi perlawanan kali ini.

“Bergelar juara di Vietnam sudah pasti meninggalkan kenangan indah di hadapan penyokong sendiri. Namun, kami perlu berhati-hati dengan Malaysia kerana mereka datang ke sini dengan semangat dan keyakinan yang tinggi," ujarnya.