Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hanya memantau dan kata putus siapa wakil negara yang beraksi dalam Piala AFC ditentukan badan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Demikian penjelasan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, selepas FMLLP menggantikan Kedah dengan Pahang selaku wakil kedua negara dalam kejohanan itu musim depan.

Menurutnya, dalam segala syarat pelesenan kelab, FMLLP mengikut garis panduan AFC tetapi ia bukan bidang kuasa badan bola sepak Asia itu untuk menentukan wakil Malaysia ke saingan tersebut.

"Badan yang memberikan lesen adalah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), mengikut Artikel 6 Pelesenan Kelab. Dalam konteks di Malaysia, yang memberi lesen adalah pentadbir liga, iaitu FMLLP. Ia adalah mengikut peraturan," katanya.

Tambahnya, 31 Julai lalu adalah tarikh akhir buat semua pasukan yang akan bersaing dalam Piala AFC untuk memenuhi segala syarat pertandingan.

Jelasnya, terdapat 32 syarat yang wajib lulus untuk pasukan yang bertanding dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hanya gagal satu daripadanya.

"Pasukan Kedah tidak dapat memberi satu kriteria berhubung laporan kewangan yang sudah diaudit.

"Sebab ia adalah kriteria A, iaitu kriteria yang harus lulus, maka mereka tidak diberikan lesen," katanya.

Tambah Windsor, ia juga adalah dalam bidang kuasa FMLLP memutuskan Kedah lulus syarat pelesenan kelab untuk Liga Super tetapi tidak menamakan skuad Lang Merah sebagai wakil negara dalam Piala AFC.