PFAM mahu MFL beri hukuman lebih berat

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 2397
PFAM mahu MFL beri hukuman lebih berat
Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia  (PFAM) menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertindak lebih tegas serta mengenakan hukuman lebih berat ke atas pasukan-pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji sebelum musim 2019 bermula.

Presiden badan itu, Rezal Zambery Yahya, amat terkejut dengan jumlah aduan tinggi yang mereka terima musim ini sehingga menjangkakan ada kes terbaru daripada satu atau dua pasukan dalam masa terdekat.

Terbaru, mesyuarat kesembilan Jawatankuasa Status FAM, 3 Disember lalu, telah melibatkan PDRM FC, Pulau Pinang dan Terengganu City FC yang diarah untuk membayar tunggakan gaji pemain.

Justeru, dia mengharapkan MFL tidak terlalu berlembut dalam isu tunggakan gaji terhadap pasukan bermasalah dan mahu jaminan perkara itu akan menemui penyelesaian sebelum musim depan.

"Sekarang, kami memang sedang menunggu apa tindakan selanjutnya daripada MFL atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Kami memang amat mengalu-alukan tindakan tegas sekiranya pihak terbabit masih ingkar dalam melunaskan tunggakan gaji," kata Rezal.

Rezal juga mendedahkan kebanyakan aduan masalah tunggakan gaji diterimanya musim ini hampir sama kepada setiap pasukan, iaitu perubahan di peringkat pengurusan, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Namun, dia tidak mahu pengurusan baru bersikap lepas tangan, malah mereka sepatutnya sudah faham risiko jika mahu mengambil tanggungjawab dalam persatuan diwakili.

"Tanggungjawab itu perlu dipikul oleh pengurusan yang baru. Mahu atau tidak, ia perlu diselesaikan.

"Saya rasa mereka sedar akan perkara itu sebelum mendapatkan tampuk pimpinan. Semua hutang perlu dilangsaikan," tegasnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen