Salah satu daripada tiga pasukan yang dipalit isu tunggakan gaji berdepan hukuman pemotongan mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan pasukan terbabit masih belum mendapat persetujuan bersama pemain untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Melaka, PDRM dan Kelantan diberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji sama ada menerusi pembayaran penuh atau persetujuan bersama pemain dan pegawai.

Bagi mengelak hukuman pemotongan tiga mata serta-merta oleh FAM, pasukan terbabit akan terselamat jika tunggakan gaji berkenaan diselesaikan mengikut kaedah pembayaran yang dipersetujui.

Namun, PFAM mengesahkan ada pasukan yang masih belum mencapai kata putus berhubung perkara itu beberapa hari sebelum tarikh akhir hukuman pertama berkenaan oleh FAM.

"Pasukan perlu mengambil tindakan dengan lebih segera kerana ia melibatkan gaji pemain-pemain. PFAM mengharapkan komitmen pasukan terbabit dalam menyelesaikan isu ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Untuk rekod, PDRM sebelum ini mengesahkan 90 peratus sudah bersetuju untuk melangsaikan pembayaran gaji tertunggak secara berkala tatkala Melaka dan Kelantan sudah membuat pembayaran melibatkan pemain tertentu.

"Tetapi sekiranya pemain-pemain dapat mencapai kata persetujuan bersama kelab dalam menyelesaikan perkara ini, ia seharusnya dilakukan menerusi perjanjian," katanya lagi.




Editor: Ammar Hakim