Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berjanji akan membayar gaji pemainnya untuk sebulan Isnin ini bagi membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Naib Presiden 3 persatuan itu, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, berkata PFA mempunyai dana mencukupi untuk membayar sebulan gaji pemainnya buat masa ini.

“Kami sentiasa berusaha mencari jalan terbaik bagi mengatasi kemelut kewangan bagi menyelesaikan tunggakan (gaji) bulan Mac dan April,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, banyak berkorban untuk menyelamatkan bola sepak Perlis, namun selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, 9 Mei lalu, beliau mungkin tidak lagi akan memberi komitmen terhadap PFA.

Karim berkata PFA akan menemui Menteri Besar Perlis secepat mungkin untuk membincangkan masalah kewangan yang dihadapi.

Mengenai peletakan jawatan presiden PFA, Ir Shaharuddin Ismail, beliau berkata pihaknya tidak menghalang tindakan Shaharuddin yang turut melepaskan semua jawatan yang disandangnya dalam UMNO Perlis.

Karim berkata PFA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara tersebut untuk mencari presiden baru dalam masa terdekat.

Katanya, pemain pula telah berjanji untuk memberikan yang terbaik walaupun terpaksa mengharungi pusingan kedua Liga FAM dalam serba kekurangan.

-- BERNAMA

Imej: Asiana