Skuad Arab Saudi selamat tiba di Rostov-on-Don untuk menghadapi perlawanan kedua Piala Dunia walaupun pesawat yang dinaiki mereka mengalami kegagalan teknikal, kata Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi.

Video yang tersiar di media sosial menunjukkan salah satu enjin pesawat berkenaan terbakar.

Tetapi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Twitter, badan kerajaan negara itu mengesahkan tiada siapa yang tercedera dalam kejadian tersebut.

"Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi ingin meyakinkan semua orang bahawa semua pemain pasukan kebangsaan Arab Saudi selamat, setelah berlaku kegagalan teknikal di salah satu enjin pesawat yang baru mendarat di lapangan terbang Rostov-on-Don. Dan sekarang mereka menuju ke kediaman mereka dengan selamat, " kata kenyataan itu.

Selepas kalah 5-0 kepada tuan rumah, Russia, dalam perlawanan pertama Kumpulan A, Arab Saudi akan berdepan Uruguay untuk aksi kedua esok.