Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, sedikit kecewa apabila lima pasukan enggan memberikan pelepasan awal kepada pemain masing-masing bagi menghadiri sesi latihan yang bermula esok.

Lima pasukan terbabit ialah Kelantan, Pulau Pinang, Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Felda United manakala Kedah belum sedia melepaskan Akhyar Rashid.

Jumlah keseluruhan yang tidak dilepaskan ialah 12 pemain, iaitu separuh daripada 26 pemain yang berada dalam senarai utama.

Menurut Bojan, beliau mungkin berpeluang mendapatkan semua pemain terbabit hanya tiga hari sebelum berlepas ke Surabaya untuk menghadapi Kejohanan AFF B-19.

"Ini bukan sesuatu yang boleh saya perjuangkan kerana Kejohanan AFF tidak tertakluk dengan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Bagaimanapun, saya sudah mendapat persetujuan jurulatih-jurulatih. Pemain utama akan dilepaskan, malangnya mereka hanya sempat menjalani empat sesi latihan.

"Saya akan memanggil beberapa pemain daripada skuad simpanan, namun rangka persiapan untuk menghadapi kejohanan penting seperti ini bakal diadakan lebih singkat berbanding kebiasaannya," katanya.

Bagi mengisi ketiadaan pemain terbabit, Bojan telah memanggil beberapa muka baru yang diletakkan dalam senarai menunggu.

Langkah itu perlu memandangkan beliau tidak mempunyai pemain mencukupi jika menghadapi beberapa perlawanan persahabatan yang telah diatur.

"Kami sudah menghantar surat (kepada pihak persatuan) sebelum boleh membuat keputusan siapakah yang boleh disenaraikan.

"Pemain-pemain terikat dengan jadual kelab masing-masing, namun sebaik mereka beraksi untuk kelab, barulah kami berkesempatan untuk mengetahui keadaan mereka, misalnya tahap kecederaan."